Showing posts with label Info Agama. Show all posts
Showing posts with label Info Agama. Show all posts

Zakat bersih jiwa

DALAM surah al-A’la, ayat 14 dan 15 menjelaskan: “Sesungguhnya berjayalah orang yang berusaha membersihkan dirinya (dengan amal yang soleh). Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mengerjakan solat.”

Berdasarkan satu hadis diriwayatkan Ibn Khuzaimah, Rasulullah s.a.w pernah ditanya mengenai ayat berkenaan dan baginda menerangkan, yang ayat terbabit diturunkan mengenai zakat fitrah.

Demikian juga menurut satu lagi riwayat daripada Saidina Ali; maksud membersihkan diri pada ayat terbabit ialah mengeluarkan zakat fitrah dan ‘menyebut nama Tuhan serta mengerjakan solat’ ialah mengucap takbir pada hari raya dan mengerjakan solat hari raya.

Zakat fitrah ialah zakat badan yang diwajibkan ke atas umat Islam kerana berakhirnya bulan Ramadan dan dikeluarkan mengikut peraturannya.

Ia disyariatkan pada Sya’ban tahun kedua hijrah dengan beberapa tujuan, antaranya untuk membersihkan diri orang yang mengerjakan puasa daripada perkataan buruk dan sia-sia serta memberikan kelapangan kepada orang miskin untuk menyambut hari raya.

Sebagaimana ibadat yang lain bergantung kepada batas waktunya, ibadat zakat fitrah juga tidak terkecuali, malah menurut ulama, orang yang melengahkan zakat fitrah sehingga terlepas waktu yang ditentukan bukan saja berdosa, bahkan tetap wajib membayarnya selepas itu.

Jika ia tidak dibayar, ia tetap menjadi hutang yang ditanggung individu terbabit, sehingga ia menjelaskannya suatu ketika nanti walaupun pada akhir hayatnya, menunjukkan besarnya kewajipan berzakat dan tidak boleh dipandang ringan walaupun jika dibandingkan dengan kadar nilainya beberapa ringgit.

Mazhab Syafie membahagikan kepada lima waktu iaitu waktu harus (pada awal bulan Ramadan), waktu wajib (apabila masuk matahari pada akhir bulan Ramadan), waktu fadilat/afdal (sebelum keluar untuk mengerjakan solat hari raya), waktu makruh (jika diakhirkan selepas solat hari raya dengan tiada uzur) dan waktu haram (diakhirkan hingga selepas hari raya dengan tiada uzur).

Benda yang dijadikan zakat fitrah ialah makanan utama sesebuah tempat seperti beras di Malaysia dan kadarnya ialah segantang Baghdad, bersamaan tiga cupak sukatan Malaysia atau tiga kati dua belas tahil atau dua kilogram 250 gram.

Makanan utama sebagai zakat fitrah menjadi pegangan dalam mazhab Syafie, kecuali disebabkan beberapa perkara seperti berlaku darurat atau diperintahkan oleh pihak berkuasa, lalu diharuskan membayarnya dengan wang sebagai ganti makanan seperti beras.

Diharuskan juga kerana adanya aturan daripada pemerintah terhadap sistem zakat fitrah dengan wang kerana beberapa alasan yang bertujuan baik, seperti asnaf yang lapan terutama fakir miskin lebih bersedia menerima wang berbanding beras.

Hari ini masyarakat secara umumnya menunaikan zakat fitrah dengan wang sebagai ganti beras disebabkan ada kelapangannya, sama ada daripada pihak yang menunaikan zakat atau penerimanya berdasarkan kadar yang ditetapkan di negeri masing-masing.

Kadar zakat yang ditetapkan umumnya berbeza-beza pada setiap tahun dan di antara negeri, berdasarkan beberapa faktor seperti kos barang dan sara hidup, namun kadangkala kadar yang ditetapkan di kawasan kota lebih rendah berbanding di negeri yang kos hidupnya tidak seberapa.

Bagi tahun ini, kadar zakat fitrah di Johor RM6.50, Kedah RM7, Kelantan RM7.60, Melaka RM6.30, Negeri Sembilan RM6.50, Pulau Pinang RM5, Pahang RM7.30, Perak RM7, Perlis RM6 - RM7, Sabah RM7.20, Sarawak RM7.50, Selangor RM5.20, Terengganu RM6 -RM8 dan Wilayah Persekutuan RM5.20.

Mengenai pelaksanaan ibadat zakat fitrah dengan wang, ulama ada memberikan sedikit huraian:

- Tidak sah jika diniatkan wang menjadi zakat fitrah, mengikut mazhab Syafie seperti niat: “Wang ini untuk fitrah yang wajib atasku, bagi diriku dan orang-orang tanggunganku.”

Tetapi harus digantikan makanan dengan wang dan hendaklah diniatkan seperti berikut: “Wang ini ialah ganti beras fitrah yang wajib atasku, bagiku dan bagi (orang-orang) tanggunganku pada tahun ini.”

- Harus menunaikan zakat fitrah dengan wang sebagai ganti beras (makanan) dalam mazhab Syafie tetapi lebih afdal dengan makanan. Dalam mazhab Hanafi, lebih afdal dengan harga daripada makanan.

Dari sini, dapat diperhatikan juga aspek penting yang menentukan sah atau tidak ibadat zakat fitrah ialah niat. Ini juga sesuai dengan hadis Bukhari yang menerangkan, setiap amalan adalah berdasarkan niat.

Waktu berniat ialah ketika menyerahkan zakat. Boleh juga didahulukan sewaktu mengasingkan benda zakat itu untuk diserahkan kerana zakat boleh diwakilkan.

Niat zakat fitrah seperti: “Ini zakat fitrah yang wajib bagi diriku pada tahun ini.” Tetapi jika menunaikan zakat fitrah dengan wang, niatnya: “Ini wang ganti beras zakat fitrah yang wajib atasku, bagi diriku dan orang-orang tanggunganku, pada tahun ini.”

Daripada (Abdullah) Ibn Umar r.a, katanya: Rasulullah s.a.w sudah menentukan wajibnya zakat fitrah, segantang daripada buah tamar atau segantang dari sya’ir (sejenis gandum) atas setiap orang hamba abdi atau merdeka, lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau dewasa dari kalangan umat Islam.” (Hadis sahih, riwayat Bukhari dan Muslim)

Selengkapnya......

Ibadat pengaruhi sikap

petikan : Harian Metro

SOALAN

BARU-BARU ini seorang teman memberitahu, kita tidak boleh mengaitkan sikap dan tingkah laku seseorang dengan amal ibadatnya. Katanya, mengaitkan amal ibadat seseorang dengan tingkah laku antara perkara yang dilarang Allah. Contohnya seseorang yang mempunyai sikap cepat marah dan percakapan yang kadangkala kurang sopan walaupun tidak pernah tinggal sembahyang.
Namun, ada pula yang berpendapat seharusnya amal ibadat dan ilmu agama menjadi pembentuk sikap seseorang kerana orang yang tinggi ilmunya dan dekat dengan Allah lebih halus budi pekertinya. Adakah pendapat pertama itu benar? Tidakkah agama sepatutnya menjadi landasan kepada budi bahasa seseorang?

JAWAPAN

Agama adalah satu cara hidup. Ia tidak terpisah antara ibadat dan perilaku seseorang. Agama bukan hanya solat dan tuntutan ibadat, tetapi soal akhlak juga adalah intipati utama dalam agama.

Semua ibadat yang disyariatkan mempunyai roh dan falsafah untuk membentuk akhlak dan pekerti manusia. Solat misalnya mengajar kita menjauhi maksiat kerana merasakan Allah melihat kita. Puasa membentuk nilai amanah dan membuang sifat amarah.

Zakat menyucikan diri daripada tamak pada harta dan menyemai rasa persaudaraan dan perkongsian.

Jika seseorang itu beribadah tetapi akhlaknya berbeza dengan ibadatnya, ini bererti ibadatnya belum sempurna sehingga gagal diterapkan dalam akhlaknya.

Selengkapnya......

Golongan dimakbulkan doa mereka

Orang yang berada dalam kesusahan
“Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti menguasai bumi? Adakah sebarang Tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati.” (an-Naml:62)

Anak soleh yang taat kepada ibu bapa
Diriwayatkan daripada Umar r.a, bahawa baginda pernah berkata mengenai Uwais bin ‘Amir: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya): “Akan datang kepada kamu Uwais bersama rombongan dari Yaman. Dia pernah ditimpa sopak lalu dia sembuh melainkan satu tempat sebesar wang satu dirham. Dia memiliki ibu yang sangat ditaatinya. Jika dia berdoa pasti Allah S.W.T akan memakbulkan, jika boleh, kamu mintalah kepadanya agar didoakan bagi kamu.” (Riwayat Ahmad)

Ibu bapa kepada anak dan orang bermusafir
Nabi s.a.w bersabda melalui hadis bermaksud: “Tiga doa yang pasti dimakbulkan Allah iaitu doa seorang bapa (dan ibu), doa orang yang bermusafir dan doa orang yang dizalimi.” (Riwayat Abu Daud)

Orang yang berpuasa hingga berbuka dan pemimpin yang adil
Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka, iaitu doa seorang yang berpuasa hingga dia berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi. Doa-doa mereka itu diangkat Allah ke atas awan, lalu dibuka pintu-pintu langit, Allah s.w.t akan berfirman: Demi kemulian-Ku, Aku akan menolongmu...” (Riwayat Tirmidzi)

Orang dizalimi
Nabi s.a.w bersabda kepada Muaz bin Jabal r.a ketika mengutusnya ke Yaman: “Takutilah kamu doa orang yang dizalimi kerana tiadalah sesuatu penghalang antara doanya itu dengan Allah S.W.T.” (Riwayat al-Bukhari)

Doa seseorang muslim buat saudaranya tanpa diketahuinya
Umm Darda’ r.a meriwayatkan hadis, bahawa Nabi s.a.w pernah bersabda: “Sesiapa yang berdoa untuk saudaranya di belakangnya (tanpa pengetahuannya), maka malaikat yang diwakilkan kepadanya akan berkata, amin dan bagimu sama dengan apa yang kamu mohonkan itu.”

Selengkapnya......

Beralih mazhab lain

sumber : Utusan

SOALAN: Saya menghidap penyakit angin dan seringkali tidak dapat menahan angin keluar dari dubur, apatah lagi ketika ada air sembahyang. Setahu saya ada mazhab tidak batal air sembahyang jika angin keluar dari dubur. Bolehkah saya berpegang pada pendapat mazhab tersebut?

Zamanhuri Sulaiman, Sungai Siput, Perak

JAWAPAN: Anda boleh bertaklid (mengikut) mana-mana mazhab yang muktabar dan diakui. Ini kerana seseorang itu tidak wajib mengikut mana-mana mazhab yang tertentu, melainkan satu mazhab itu sahaja yang diketahui dan dipelajarinya seperti masyarakat kita di Malaysia ini kerana kita semua diwajibkan beramal dengan ilmunya (ilmu yang dipelajarinya). Apa lagi sekiranya mazhab itu dapat mengatasi masalah anda. Bagaimanapun kata ulama, tujuan anda dalam tindakan tersebut hendaklah ikhlas bukan disebabkan semata-mata memilih apa yang senang sahaja dan bukan kerana malas melaksanakan kewajipan agama dan perintah Allah SWT. Sekiranya anda ikhlas dengan tujuan tadi, maka anda dibolehkan bertaklid dan mengikut mana-mana mazhab. Contohnya kita di Malaysia memilih menunaikan zakat fitrah menggunakan harganya yang disahkan oleh Hanafi r.a. Satu perkara lagi, anda perlu faham syarat dan hukum berkaitan satu-satu isu yang hendak ditaklid kepada mazhab tersebut, kalau tidak akan berlaku talpik (bertampung) dalam amalan kita .Sebagai contoh, ramai yang mengambil wuduk mengikut cara Imam Syafie r.a dengan menyapu sedikit rambut di kepala sedangkan perbuatan seperti itu wuduknya tidak diakui sah oleh Imam Hanafi r.a. Begitu juga bila kita bersentuhan dengan wanita asing, wuduk kita terbatal dan tidak diakui sah pada mazhab kita Jadi wuduk kita itu tidak ada siapa yang memperakuinya sebagai sah dan masih terpakai, kerana semua Imam Hanafi dan Syafie ra.) mengatakannya sudah batal. Tetapi sekiranya perasaan anda it was-was sahaja maka jangan anda keluar dari solat sehingga anda pastikan keluarnya dengan suara atau baunya. Wallahualam.

Selengkapnya......

Mas kahwin cermin kasih sayang

sumber : Utusan


Soalan

Saya akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi. Tetapi saya dan pasangan masih tidak dapat membuat kata putus tentang mas kahwin dan wang hantaran. Bakal suami saya mahu memberi sekali gus, kerana katanya tidak ada beza dan memudahkan dia untuk membayar.

Dia juga mahu menetapkan harga yang mahu dibayar. Ibu bapa saya agak tidak bersetuju kerana kata mereka kita harus menurut penetapan, adat dan silah agama.

Saya agak keliru kini. Sebenarnya, apakah perbezaan antara mas kahwin dan wang hantaran? Adakah wajib bagi bakal suami untuk menyediakan kedua-duanya? Bolehkah jika saya ingin menetapkan mas kahwin lebih daripada apa yang ditetapkan oleh kerajaan kerana bakal suami saya mampu untuk membayar lebih.

Rose Anieda

Alor Star, Kedah


Jawapan

Tahniah diucapkan kepada saudari kerana bakal melangsungkan perkahwinan kelak.

Setiap perkahwinan yang sah adalah berdasarkan rukun-rukun nikah yang terkandung di dalam Hukum Syarak iaitu pengantin perempuan, pengantin lelaki, wali, saksi, ijab dan qabul. Manakala mas kahwin atau pemberian adalah salah satu syarat yang dikenakan sebagai mahar pembayaran yang diberi atau dijanjikan dibayar kepada pengantin perempuan itu.

Mas kahwin pada asalnya merupakan wang yang dibayar oleh pihak pengantin lelaki kepada ibu bapa pengantin perempuan untuk membantu kos perbelanjaan kenduri perkahwinan.

Tetapi pada zaman kini dan setelah kompromi antara undang-undang Islam dan adat Melayu, mas kahwin adalah mahar pembayaran yang diberi kepada pengantin perempuan itu sendiri.

Manakala wang hantaran atau pemberian lebih merupakan adat Melayu yang telah diamalkan sejak dahulu lagi. Wang hantaran ini adalah hadiah yang diberikan oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan. Ini tidaklah diwajibkan seperti mas kahwin.

Memberi mas kahwin kepada isteri hukumnya wajib. Menurut Abu Hanifah dan mazhab Syafie, isteri berhak mendapat mahar apabila akad nikahnya sah.

Pemberian mas kahwin suami dianggap sebagai lambang kesungguhan suami terhadap isteri. Selain itu, ia mencerminkan kasih sayang dan kesediaan suami hidup bersama isteri serta sanggup berkorban demi kesejahteraan rumah tangga dan keluarga. Ia juga merupakan penghormatan seorang suami terhadap isteri.

Walau bagaimanapun mas kahwin tidak termasuk di antara rukun-rukun nikah atau syarat sahnya sesuatu pernikahan.

Sekiranya pasangan bersetuju bernikah tanpa menentukan jumlah mahar, pernikahan tersebut tetap sah tetapi suami diwajibkan membayar mahar misil (yang sepadan).

Manakala wang hantaran seperti yang dinyatakan di atas, iaitu lebih merupakan adat Melayu. Wang hantaran yang lazim diberi di kalangan masyarakat kita adalah berupa wang atau hadiah daripada suami kepada isteri dan juga hadiah daripada isteri kepada suami, iaitu saling bertukar hadiah sebagai tanda setuju dengan perkahwinan itu.

Hantaran tidak wajib tetapi merupakan adat dan hukumnya harus. Wang hantaran ini lebih merupakan keikhlasan pihak lelaki kepada pihak perempuan sebagai membantu menampung perbelanjaan kenduri kendara.

Sekiranya bakal suami saudari mahu memberikan mas kahwin dan hantaran sekali gus, tidak ada salahnya. Malah, seperti yang banyak dilakukan oleh pasangan pada zaman ini, mereka hanya memberikan mas kahwin dalam jumlah yang agak besar dan menganggapnya sebagai hantaran juga.

Ini bertepatan dengan hukum syarak kerana mas kahwinlah yang wajib kepada bakal suami. Malah mas kahwin merupakan hak mutlak isteri dan boleh dianggap sebagai hutang jika suami gagal memberikan mas kahwin tersebut. Mas kahwin juga boleh diberi dalam bentuk wang atau barangan.

Bagi kadar mas kahwin dan hantaran, hukum syarak tidak menetapkan kadar serta hadnya. Kadar dan had ini bergantung kepada uruf iaitu keadaan semasa dan suasana sesuatu tempat dan masyarakat.

Manakala merujuk kepada perundangan Islam di Malaysia, setiap negeri telah memberi garis panduan terhadap kadar minimum mas kahwin. Kadar ini berbeza-beza mengikut negeri. Majlis Agama Kedah tidak menetapkan sebarang jumlah minimum dalam kadar mas kahwin. Oleh itu, terpulanglah kepada pasangan untuk menetapkannya.

Selengkapnya......

Sembilan waktu paling sesuai puasa sunat

sumber : Berita Harian

SAYA bersyukur kerana dapat berpuasa penuh sepanjang Ramadan dan mahu berpuasa enam hari ketika Syawal. Saya kini bersemangat untuk menjadikan puasa sebagai amalan sepanjang tahun. Bolehkah saya melakukan begitu dan bilakah umat Islam digalakkan berpuasa selain Ramadan?

Adel Iskandar Hakim,
Mergong, Alor Star.

Puasa sememangnya satu ibadah yang dituntut. Ia adalah ibadah ketaatan dan keikhlasan kepada Allah SWT. Di akhirat kelak orang yang berpuasa dialu-alukan memasuki syurga melalui pintu ar-Rayyan. Malahan puasa juga adalah madrasah yang mentarbiyah manusia menjadi insan bertakwa kerana ia membiasakan manusia dengan sifat sabar, amanah, disiplin, mengurangkan makan, meningkatkan amal ibadat dan sebagainya. Oleh itu amatlah digalakkan untuk mukmin meneruskan puasa sunat selepas berlalunya Ramadan untuk mengekalkan kebaikan yang sudah kita lakukan ketika Ramadan seperti puasa enam hari pada Syawal.

Antara waktu digalakkan berpuasa sunat ialah;

  • Berpuasa satu hari dan berbuka satu hari. Ia paling afdal kerana Rasulullah SAW bersabda: "Puasa yang paling afdal ialah puasa Nabi Daud. Dia berpuasa satu hari dan berbuka puasa satu hari. Tidak ada yang lebih afdal daripada itu." (Riwayat Bukhari Muslim)

  • Berpuasa tiga hari setiap bulan dan lebih afdal berpuasa tiga hari bulan terang (hari ke-13, 14 dan 15). Pahala berpuasa pada hari-hari berkenaan ialah sama seperti berpuasa sepanjang masa dengan gandaan pahala.

    l Berpuasa pada hari Isnin dan Khamis bagi setiap minggu.

  • Puasa pada enam hari bulan Syawal.

  • Puasa hari Arafah. Iaitu hari yang kesembilan bulan Zulhijjah bagi mereka yang tidak mengerjakan haji. Bagi seseorang yang sedang mengerjakan ibadat haji tidak disunatkan berpuasa pada hari itu sebaliknya disunatkan berbuka puasa walaupun dia kuat. Ini bertujuan untuk terus kuat berdoa dalam mengerjakan ibadah wajib berkenaan.

  • Puasa lapan hari daripada bulan Zulhijjah sebelum hari Arafah bagi orang yang sedang mengerjakan haji dan orang yang tidak mengerjakannya.
  • Puasa Tasi' dan Asyura (hari ke-9 dan 10) dan disunatkan menghimpun kedua-duanya.

  • Puasa dalam bulan-bulan haram (iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab). Sebaik-baik bulan haram selepas bulan Ramadhan ialah Muharam, kemudian bulan Rejab, kemudian bulan-bulan haram yang lain, akhirnya barulah Syaaban.

  • Puasa dalam bulan Syaaban. Cuma ada ulama yang tidak membenarkan berpuasa pada 15 terakhir bulan Syaaban dengan hikmahnya untuk membuat persediaan tubuh badan bagi berpuasa sebulan Ramadhan dan bagi meningkatkan perasaan hati agar berasa ternanti-nanti kehadiran Ramadhan dengan penuh pengharapan dan kegembiraan.
  • Selengkapnya......

    Kajian Dr Masaru bukti air dibaca ayat Al-Quran

    Soalan:
    Menjelang peperiksaan seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tidak lama lagi, sesetengah sekolah atau ibu bapa mengadakan majlis baca Yasin dan air yang diletakkan pada majlis itu untuk diminum pelajar yang bakal menduduki peperiksaan. Apakah pandangan tuan mengenai amalan ini?

    Jawapan:
    Air itu boleh dikatakan sebagai air penawar atau dikenali juga dengan air penerang hati bergantung kepada niat atau hajat yang diperlukan.

    Membaca al-Quran adalah ibadah dan amalan ini memberi pahala kepada si pembacanya serta memberi berkat kepada orang di sekitarnya seperti air yang diletakkan di sisinya.

    Berikutan penggunaan air sebagai medium, ia adalah benda hidup yang dapat memahami dan berinteraksi dengan persekitarannya.

    Oleh kerana 70 peratus tubuh kita terdiri daripada unsur air, bererti ketika kita membaca, mendengar al-Quran atau air yang dibaca ayat al-Quran akan membentuk susunan dan molekul yang teratur dan sempurna yang dapat membantu memperbetulkan fungsi dalaman tubuh bagi menenangkan jiwa dan bertindak seperti niat dan tujuan kita.

    Perkara ini boleh dirujuk kepada kajian Dr Masaru Emoto dari Jepun yang sudah membuktikan secara ilmiah bahawa air yang dibacakan doa atau perkataan yang baik atau muzik yang merdu akan membentuk struktur molekul yang nampak halus dan indah.

    Jika diperdengarkan kepada air itu perkataan yang buruk serta muzik yang kasar, maka ia membentuk molekul yang tidak seimbang dan hodoh.

    Justeru, molekul air dapat berubah dan mengikut aura persekitaran lalu membentuk seperti apa yang berlaku di sekelilingnya seterusnya memberi kesan kepada manusia.

    Kesimpulannya, membaca dan minum air Yasin dengan niat yang baik boleh diamalkan kerana termasuk usaha dan ikhtiar di samping usaha lain yang perlu juga dilaksanakan bagi mencapai matlamat dan cita-cita yang baik dan cemerlang.


    Subscribe to Islam is the Answer by Email

    Selengkapnya......
     
    Cebong`s Notez
    ---- Download for FREE. Green World Blogger Template---- © Template Design by Herro